Monday 5 January 2009

KEMBALI

Oleh: Mohamad Azam Si Rajab
.
INDERA lentokkan kepalanya sedikit ke kanan. Sebelah mata di kenyit menenang pada sasaran agar tepat kenanya. Tangan kanan yang tadi bergetar kini sudah stabil dan bersedia melepaskan sebilah anak panah pada bila-bila masa. Suasana keliling bagai ada malaikat lalu, sepi sesepinya. Indera tenang betul-betul. Apabila sudah cukup yakin yang meresap ke seluruh urat saraf, dia kemudian meneguk segugus nafas berat. Sekonyong- konyong dilepaskan nafas itu serentak dengan anak panah yang tadi terkepit dicelahan jari. Berdesup bunyinya meluncur menuju sasaran. Pantas perginya tidak terkesan dek mata kasar, akhirnya terbenam tepat di leher seekor kancil. Dia melompat gembira. Kancil itu menggelupur bak haiwan sembelihan.
.
Yaaaa… kena!!! kena!!!" teriakannya bergema ke sekitar belukar memecahkan keheningan yang tadinya bagai sesepi malam di Gurun Sahara.
.
Abah, makan daging kancil kita malam ini! teriaknya dengan senyum yang tak lekang di bibir.

Andika menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat Indera yang keriangan. Sedang orang sudah lama menggunakan senapang tika berburu, dia masih lagi mengajar anak menggunakan panah. Satu-satunya kemahiran yang telah sebati dengan seluruh urat nadi. Kemudiannya ada sekelumit senyuman kelat terlekat di riak wajah. Hatinya bergetar dalam kegusaran yang sukar dilafazkan. Namun dia harus akur dengan takdir yang menunggu di esok hari.

.
Malam itu berdepan sebuah khemah tua yang terpacak bertepikan sungai Nilam yang airnya mengalir lesu, Andika melayan Indera duduk berteleku mengadap marak unggun api. Seekor kancil melintang di atasnya. Riak bangga Indera masih belum berakhir. Bintang-bintang bertabur di langit menemani bulan menerangi malam, seolah-olah esok tidak akan ada lagi hari sepertinya. Sesekali Indera balik-balikkan kancil yang kejang kaku dimamah bahang unggun api… dan tanpa Indera sedari itulah malam terakhirnya bersama Andika. Bermula esok dan hari-hari seterusnya Andika akan hanya berburu sendiri. Indera harus pergi meninggalkannya dalam satu percutian yang panjang. Andika sendiri tidak tahu bila akhirnya. Yang pasti, setiap saat di setiap hari-hari esoknya dia akan berselimut rindu untuk menatap wajah mulus 9 tahun anak kesayangannya itu, Indera Hakimi.

.
Sedap daging ini Abah ya? Comot mulut Indera menyiat kunyah daging kancil panggang itu.
Kalaulah… sambungnya, tapi dibiarkan ayat itu tergantung.

.
Andai mampu, ingin Andika rawat kelukaan itu. Namun dia yakin, hati Indera setebal tembok batu. Dalam usia semuda itu dia mampu mengawal rasa duka, mampu menyembunyikan kekecewaan dan terkilan di celah-celah batas kegembiraan. Dia mampu menenangkan keributan hatinya yang deras berkecamuk. Dia mampu menghalau rasa hiba tatkala ada gurat-gurat luka mengetuk dinding kesepiannya.

.

.
Malam itu lewat bercerita tentang kehebatan anak raja menyelamatkan tuan puteri dari kayangan, dan sambil bertemankan langit hitam seribu bintang, Indera lelap di pangkuan Andika.

.
Sepanjang hidup Abah, kaulah yang terbaik, nak...

.
Lafasnya seakan berbisik. Airmatanya jatuh setitik dan terlantun di pipi Indera, membuatkan dia terjaga.

.
Abah menangis?
Tidak… mungkin rintik hujan agaknya
Andika berhelah.
Kalau begitu, mari kita ke khemah…

Tak apa… pejam kan mata. Kalau betul hujan nanti, Abah angkat Indera ke khemah ya…?

.
Indera mengalihkan sedikit kedudukan dengan pipinya masih terlekap erat di pangkuan Andika. Sekelip mata dia lena semula. Dalam kesuraman unggun api, Andika tatapi wajah itu. Lama. Bulan merenung penuh simpati. Bintang-bintang terus setia menemani dan sungai Nilam mendendangkan deruan air mengalir lesu.
.
KOTA LONDON: Awal Musim Luruh

.
AKU mengutip sehelai daun maple yang kuning kemerahan yang sudah mula bertabur di padang Hyde Park. Suasana ini sudah lazim sekali disaksikan apatah lagi bila tiba musim luruh. Angin yang bertiup garang melepaskan dedaunan yang sudah lama terlekat di ranting lantas berterbangan membelah ruang udara tanpa arah. Seolah-olah sudah lama mengimpikan kebebasan. Aku hirup udara itu dalam-dalam. Nafas yang ku lepaskan sebolehnya juga mahu bebas terbang mencari sekujur tubuh yang telah lama hilang pada pandangan. Namun di hati tetap bersemadi dan setiap kali mata kututupkan, walau seketika, wajah itu akan datang melemparkan senyuman yang paling berharga.

.
Orang ramai lalu lalang. Suasana dingin di awal musim luruh kali ini belum lagi menyengat kulit untuk menyebabkan roma tegak meremang. Namun sesekali bila ada angin yang bertiup kencang, apatah lagi bila berada di bawah teduhan pohon maple yang sudah hampir botak itu, mampu juga sejuk itu menyengat sehingga mencuit tulang kering.

.
Daun maple di tangan itu aku selitkan di celah helaian buku yang sedari tadi aku kelek. Setiap tahun akan aku simpan sehelai daun maple dari pohonan di Hyde Park ini. Ia bagai memberi semangat pada aku untuk terus yakin bahawa apa yang pergi pasti akan datang kembali. Setiap duka ada ubatnya. Sama seperti daun maple yang gugur itu, yang dalam beberapa bulan nanti akan kembali tumbuh menghijau menyelimuti ranting yang sama yang sudah lama dicengkam kedinginan.

.

.
Aku tersenyum tatkala sedari jauh sudah aku saksikan kelibat Daddy melambai-lambai. Daddy bersetia menunggu aku sambil duduk di salah sebuah kerusi yang banyak diletakkan bersebelahan dengan trek jogging di padang Hyde Park ini. Langkah aku kini rapat rapat, semakin pantas.

.
You are late, young man!
Tegur Daddy namun senyum di bibirnya dilemparkan juga.

.
Kami berpelukan. Itu sesuatu yang lazim dengan budaya orang di sini. Daddy aku seorang penganut Islam warga British. Bapanya dahulu seorang profesor di Brunnel University dan akhirnya terpaut hati dengan seorang wanita berketurunan Arab yang kebetulan adalah sebahagian dari warga universiti tersebut. Ironinya aku sendiri kurang tahu bahawa semakin ramai warga British secara diam-diam mahupun terang-terangan kini mendalami agama suci Allah ini.

.
Dalam pekenalan yang tidak aku tahu secara terperincinya itulah yang membawa kepada perkenalan Datuk aku kepada agama Islam. Harumnya aroma agama suci ini menyebabkan dia tidak lagi berpaling, apatah lagi setelah mendapat ketenangan dalam kepercayaan baru yang dia anuti. Mereka berkahwin dan dikurniakan empat orang anak. Seorang meninggal pada usia 12 tahun akibat leukimia dan itu menyebabkan Daddy menjadi anak bongsu dalam 3 beradik yang berbaki.

.
Auntie Anne kini begitu aktif dengan kempen menyelamatkan warga perang. Sudah berkahwin tapi belum dikurniakan anak. Sering kali dia membawa helaian kertas mengandungi statistik perang dan mengutuk pencerobohan. Helaian itu dihulurkan kepada orang ramai untuk kesedaran. Selain itu Auntie Anne juga membantu menjana dana di dalam Islamic Fund khas untuk rakyat Palestine.

.
Uncle Cliff pula mengikut jejak Datuk; menjadi warga pendidik, mengajar di Westminster University. Dalam masa yang sama Uncle Cliff banyak menerbitkan buku-buku tentang Islam dan bibliografi warga British yang telah kembali kepada agama suci Allah ini.

.
Manakala Daddy, Geoff P. Wilsker, pula adalah seorang broker minyak masak di Eropah. Sebut sahaja jenis-jenis minyak masak di pasaran semuanya akan pantas meniti di bibir Daddy. Dari minyak soya kepada minyak kacang tanah kepada minyak bunga matahari kepada minyak jagung, semuanya bagaikan nama-nama yang sudah lama menghuni di celahan giginya. Hatta minyak sawit sendiri bukan sesuatu yang asing pada Daddy. Pada suatu ketika, kerja Daddy ini telah menerbangkannya ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sebuah Palm Oil Conference anjuran Bursa Malaysia yang akhirnya membawa kepada perkenalan dengan Mummy. Bibit-bibit cinta segera berputik sebelum pantas berkembang. Singkat perkenalan bukan alasan untuk mereka diijab-kabulkan, lantas Mummy berhijrah mengikut Daddy menginjak kaki di bumi United Kingdom ini.

.
Satu yang menarik, Datuk tidak pula memberikan anak-anaknya dengan nama-nama Islam yang lazim kita dengar. Kata Datuk, seorang Ustaz pernah menerangkan kepadanya bahawa Islam itu bukan pada nama, tapi pada qalbi… andai sudah sebati, auranya akan melingkar di segenap ruang kehidupan. Lantas ke mana pun kaki melangkah, apa pun nama kalau diubah, ia akan tetap segar menyubur dalam diri dan harumannya akan terus mengapung mengidam untuk bertemu-Nya yang maha Esa. Itu kata hikmahnya yang tidak mungkin aku lupa.

.
Mengapa lambat ini? Daddy tegur aku lagi dalam pelat Bahasa Melayu-Inggeris setelah soalannya yang terdahulu aku biarkan berlalu bersama daun-daun maple yang melayang.

.
I’m sorry, Dad. Kena berpatah balik ke library lah, tertinggal barang… Jawab aku sekadar memberi alasan. Kami berjalan seiringan menyusuri trek jogging di Hyde Park sebelum keluar mengambil bas dua tingkat bernombor 148 di Bayswater Road. Orang ramai bersesak sesak mengejar haluan masing-masing. Di kota London ini warganya lebih selesa membiarkan kereta mereka bermastautain di garaj sahaja. Apatah lagi bila frekuensi keretapi bawah tanah dan bas begitu kerap, serta menghubungkan hampir ke semua tempat di London ini. Laluan bas yang disediakan mengelak kesesakan bagi pengguna pengangkutan awam. Suasana dingin juga menyebabkan kurangnya penunggang motosikal, bagai tidak wujud adanya. Semua ini memberikan kelebihan kepada orang ramai lantas menghapuskan sebab musabab untuk memandu di kota metropolitan ini.

.
Ke mana kita ni Daddy?

.
Sebenarnya aku masih tidak tahu ke mana Daddy ingin membawa aku hari ini. Cuma di awal pagi tadi Daddy menalipon dan mengingatkan aku untuk berjumpa dengannya di padang Hyde Park. Tempat pertemuan di kerusi yang selalu dia lepaskan lelahnya setelah penat berjogging. Selebihnya tidak diberitahu, menyebabkan aku terpinga- pinga mengikut sahaja.

.

.
Dari bahagian atas bas dua tingkat itu aku saksikan padang Hyde Park dipenuhi orang ramai. Berbaring menghidangkan diri pada panas mentari agar kulit cerah mereka terbakar keperang-perangan. Anak-anak muda bermain bola dan frisbee bersama rakan sebaya dan keluarga. Pemandangan yang begitu lazim bila sesekali naiknya matahari di dada langit kota London ini. Bila bas melepasi kawasan Marble Arch, aku dapat perhatikan ruang speakers corner sudah tidak semeriah dahulu. Kononnya ada kebebasan bersuara di sini, tetapi siapa berani secara lantang bercerita peristiwa Nazi membunuh beribu-ribu Yahudi? Siapa berani menghemburkan amarah kepada status beraja di United Kingdom ini? Aku tersenyum kelat.

.
Ah, kamu pasti akan suka. Trust me! Jawab Daddy kepada soalan aku yang hampir sahaja dibiarkan berlalu. Kadang kala terasa aku ingin ketawa dengan pelat Daddy berbahasa Melayu. Banyak juga perkataannya diceduk dari perbualan Mummy dengan aku sendiri. Kagumnya, Daddy menghargai Bahasa Melayu dan tidak pernah terlihat walau sekelumit pun keinginan dia menganak-tirikan. Malah Daddy bersungguh-sungguh mempelajarinya. Sehinggakan bila sahaja dia bertutur bagaikan mendengar buletin berita di kaca TV yang sempurna subjek dan predikat.

.
Akhirnya kami turun di perhentian hotel Dorchester, sebuah hotel mewah milik Sultan Brunei yang terkenal di kalangan ahli korporat dan warga London ini. Aku melangkah beriringan dengan Daddy yang memacu jalan terus ke ruang utama The Promenade, salah sebuah restoran di dalam hotel Dorchester yang menyediakan hidangan minum petang. The Promenade ini agak luas dengan warna hijau lembut mendominasi hiasan dalamannya. Meja di susun berjarak antara satu dengan yang lain memberikan keselesaan dan privasi kepada pengunjung. Malah di setiap ruang di letakkan partition separas pinggang dengan hiasan bunga-bungaan yang memercikkan pelbagai wangian aroma. Mewah dan tenang suasananya, apatah lagi dengan petikan piano yang membuai perasaan sesuai untuk insan yang mencari kedamaian. Baru sahaja aku menghenyakkan punggung di kerusi empuk, aku dikejutkan dengan sebuah teriakan.

.

.
Surpriseeeee....!!!"

.
Mummy, Auntie Anne, Uncle Cliff bersama dengan anak-anaknya Rolland dan Ryanna yang masing-masing berusia 15 dan 11 tahun muncul dari belakang kerusi membawa sebiji kek jelas dengan angka 18 di atasnya. Aku terpinga-pinga, benar- benar terkejut.
.
Oh my God, how could I not remember my own birthday? Whose plan is this? Must be you, Mummy!?

.
Lantas aku terus bangun memeluk erat Mummy seolah-olah sudah lama tidak berjumpa.
Selamat Hari Jadi Sayang... kata Mummy ringkas menyambut aku dalam dakapan eratnya. Yang lain-lain ketawa bertepuk tangan melihat gelagat aku.

.
This is a real surprise, thank you Dad, Mummy.... thank you everyone…

.
Bukan tidak pernah menyambut harijadi. Malah acara ini sangat penting dalam budaya orang di sini. Namun entah mengapa kali ini, aku boleh hanyut dalam mengingati tarikh lahir sendiri.

.
Hadiah bertukar tangan dan sudah menjadi amalan, penerima harus membuka hadiah itu di depan orang yang memberi. Aku terpegun melihat hadiah dari Auntie Anne; sebuah jam tangan Tissot buatan Switzerland manakala hadiah dari Uncle Cliff sekeluarga pula berupa set dompet dan sebatang pen berjenama Montblanc.

.
Oh guys, these are wonderful… Aku melafazkan dalam nada yang begitu ceria. Auntie Anne, Uncle Cliff, Rolland dan Ryanna serta merta meracikkan senyuman manis pada kenyataan aku itu.

.
Not so, not until you see this… tiba-tiba Daddy mencelah dan memberikan senyum sumbing, serentak itu dia hulurkan satu sampul surat berbentuk segiempat tepat. Ada lipatan kertas di dalamnya. Aku tenung Mummy. Mummy mengangguk bagai memberikan isyarat untuk aku membukanya segera. Tangan kanan Daddy memeluk erat bahu kanan Mummy.

.
Perlahan-lahan dan berhati-hati aku mengeluarkan helaian kertas di dalam sampul surat bersegi empat tepat itu. Tiket penerbangan pergi balik ke Malaysia! Aku tersentak seakan-akan tidak percaya. Justeru tiba-tiba dada aku deras berombak. Aku berpaling memerhatikan riak di wajah mummy. Dia tersenyum paksa, cuba menyembunyikan tona wajahnya yang sudah bertukar sedikit pucat. Aku tahu nostalgia itu datang menyergah di kotak mindanya. Episod itu walau berkali-kali cuba dipadam, ternyata tidak terkafankan. Mummy harus akur bahawa gurat-gurat luka itu sudah menjadi sebahagian dari hidupnya. Walaupun takdir ini membawa dia kepada kebahagiaan sekarang, namun peristiwa lama terus bergentayangan memaparkan wajah-wajah kehampaan yang berulang-ulang.

.
Setelah hampir 7 bulan mahkamah memberikan hak penjagaan kepada Mummy, takdir menentukan Mummy bertemu Daddy. Kemelut mula bergolak tatakala Mummy mengambil keputusan untuk menerima lamaran Daddy walau sesingkat perkenalan.

.
Betul kah keputusan kau ni Ramlah, nak kawin dengan anak mat salleh tu?

.
Aku menelinga di sebalik pintu bilik. Suara Opah sayup namun butir bicaranya jelas kedengaran. Pada usia semuda aku ketika itu, aku sudah betah memahami gejolak kasih yang melanda jiwa Mummy.

.
Habis macam mana dengan Andika? Opah menyambung lagi setelah mummy lama membisu, tercari-cari patah kata.

.
Andika sudah tidak ada kena mengena dengan saya, mak. Kami dah berpisah. Cara baik.

.
Ya, betul dia tak ada kena mengena dengan kau. Tapi dia tu bapa kepada Indera. Sanggup kau nak pisahkan mereka? Dia walaupun dah tak ada kena mengena dengan kau, tanggung jawab dia pada Indera tidak pernah terabai. Kau fikir baik-baik Ramlah!

.
Suara Opah keras bersalut kesal yang menebal terhadap keputusan Mummy. Namun Mummy sudah nekad dengan keputusannya. Arwah Atok tidak masuk campur di dalam tegang perbualan itu. Dia merestui keputusan Mummy. Baginya adalah lebih baik Mummy berkahwin semula agar ada insan yang menjadi pelindung kepada anak perempuannya. Apatah lagi, pada pandangan Atok, Daddy bukannya perlu memeluk agama Islam semata-mata kerana mahu mengahwini Mummy. Daddy sememangnya dilahirkan Islam, cuma berlainan bangsa dan warganegara.

.
Saya dah beritahu dia mak. Kalau dia mahukan yang terbaik untuk kami, paling tidak untuk Indera, dia harus akur. Dia kena terima! Lagipun saya tak perlu minta kebenaran dia.

.
Kata Mummy bertegas. Suasana sepi agak lama. Masing-masing membisu. Dalam kesunyian itu Opah mengundang sayu dibalik getar suaranya.

.
Habis, aku? Sanggup kau tinggalkan aku?

.
Soalan Opah itu membuat Mummy terkedu. Lembut suara Opah mencecah gegendang telinga namun terasa bagaikan tamparan yang memedihkan. Tangkai hati mummy terjerut pilu. Sebak menyergah dan memecahkan benteng air mata lantas mengalir laju. Ia menjadi jawapan kepada soalan yang dilantunkan. Hati mummy merenin, tak mampu menahan pedih yang mula datang bertindih-tindih. Justeru sepantas kilat Mummy bangun mendapatkan Opah dan keduanya berpelukan dalam sedu sedan yang berpanjangan.

.
Maafkan saya mak. Tiada niat saya untuk menderhaka, maafkan saya…

.
Malam itu hujan turun renyai-renyai. Suasana sepi dan dingin. Masing-masing cuba memujuk hati sendiri. Tiba-tiba Opah meleraikan dakapan mummy, lantas bangun mencari ruang menghamburkan pedih di hati. Mummy termangu di situ.
"Maafkan saya mak... maafkan saya..." sayup-sayup aku dengar mummy menuturkannya berulang ulang...

.
Meja kami seakan di landa garuda. Petikan lembut piano di The Promenade seakan kuat benar bunyinya. Semua mengerti dan cuba menyelami kegusaran di hati Mummy. Aku lihat Daddy semakin erat merangkul bahu Mummy dan sesekali dahi Mummy dikucup manja. Aku tahu bahawa aku lah yang perlu memecahkan kesunyian.

.
I don’t know what word should I choose to thank you, Daddy, Mummy. This is so overwhelming… I'm flattered, really... but, if its not too much, may i just ask for one little wish…?"

.
Semua mata tertumpu. Aku menghela segugus nafas berat dan melepaskan sepenuhnya sebelum merenung keliling. Sekuntum senyum aku ukirkan. Daddy menggangguk. Kening Mummy sedikit terangkat.

.
Can you two come with me, please…?
Tiada jawapan.
Petang itu selepas saling bersalaman dan berpelukan, kami pulang menaiki teksi hitam yang sudah sekian lama menjadi ikon di kota London ini. Hyde Park sudah semakin lengang dan mega senda sudah pun mula bertandang.
.
KUALA LUMPUR: Pertemuan

.
Debar Andika bersarang di dada sebaik kapal terbang MAS dari kota London mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Dia libang libu tidak tentu arah. Berdiri atau duduk semuanya serasa tidak kena. Sesekali bila debar itu memuncak, romanya menegak. Tengkuk pun meremang sehingga terasa kebas naik ke muka. Perasaan ini amat menakjubkan. Setelah sekian lama tidak bersua, dia akan kembali menatap wajah itu berdepan dengannya. Merenung pada gambar, tak sama bila bertentang mata.

.
Andika berdiri kaku. Tiada apa yang dipegang di tangan. Namun ada segenggam harapan yang tersemat di dada. Agar keluhan demi keluhan hatinya dahulu akan menemui tempat teduhan untuk disemadikan. Biar redup sepanjang masa walau terik, badai atau taufan melanda. Kasih sayang yang tercurah walau setelah lama terpisah tidak mungkin tergadai. Mana mungkin terjual walau di umpan segunung baiduri. Mustahil.

.
Islam itu persaudaraan. Dia telah lama memaafkan. Nanah pada luka perasaannya itu telah lama diubati. Walau pun berparut namun tidak lagi menjadi kudis di hati. Andika terus merenung ke depan menanti kelibat insan yang tak pernah lekang dari ruang ingatan.

.
Indera melangkah keluar. Geoff dan Ramlah mengikut dari belakang. Dari jauh mata berpandangan. Sayang dan rindu bertaut menjadi satu. Langkah di atur laju-laju. Tiada ruang walau sesaat pun yang perlu ditangguhkan. Hari ini sudah lama dinanti.

.

"Abah...."
.


.

Hanya itu yang mampu terlafas sebelum Indera terbenam didalam dakapan Andika. Rindu diterjemahkan melalui air mata yang mengalir laju tanpa dapat disekat-sekat. Dada berombak kencang. Mereka berpelukan dalam satu waktu yang panjang. Erat-erat. Lama-lama. Seakan tidak mahu lagi dilepaskan. Suasana keliling seakan sunyi sepi. Airmata Ramlah segera gugur menyaksikan drama realiti yang terpentas di depan mata. Geoff merangkul tubuhnya meminjamkan sedikit semangat agar tidak tewas pada nostalgia yang sudah mula datang menyinggah.
.
Setelah terlerai rindu di kalbu, setelah dada mampu menyekat sendu, Andika berpaling menatap Ramlah dan Geoff. Geoff menghulur tangan bersalaman.

.
Maafkan saya, Abang. Tidak sepatutnya saya memisahkan Indera dan Abang begini lama. Masa tidak membantu untuk perkara ini lebih cepat berlaku… kata Geoff, masih dalam pekat pelat Bahasa Melayu-Inggeris nya.

.
Usah diungkit kisah lama, Geoff. Islam itu persaudaraan.” Ringkas Andika membalas. Tangan mereka berjabat erat. Kemudian senyuman berganti senyuman. Ramlah menuruti dalam tangis yang masih berbaki.

.
Keriangan Indera bertemu Andika tidak tergambar dengan lukisan. Tidak ada patah kata yang boleh mengungkapkannya. Namun di kotak mindanya masih terngiang-ngiang kata-kata Geoff. Segugus ayat keramat lewat mereka pulang menaiki teksi hitam pada petang hari jadinya itu.

.
Son, it is not a secret that I am not your real father. Tapi percayalah, saya sayang kamu lebih dari segalanya. Kamu terpenting dalam hidup saya. I love you more than anything in this world, son. I do...

.
Di saat itu mata Indera seakan mahu berkaca. Rasa terharunya datang menghuni pelusuk nadi. Diam tanpa kata, hanya kedengaran ngauman enjin teksi hitam merentas kota metropolitan. Dalam masa yang sama dia berasa sangat bertuah. Dia mempunyai dua orang Ayah yang menyayangi dan mengasihinya tanpa berbelah bahagi. Nikmat ini amat dia syukuri.

.
Malam itu sangat istimewa. Opah menyediakan rendang daging kancil yang elok terhidang di atas meja. Indera berpaling menatap Andika. Sekonyong-konyong terbayang seekor kancil yang melintang di atas unggun api. Serentak itu senyuman terukir di bibir. Hanya mereka yang mengerti.

.
Selesai makan malam, Geoff dan Ramlah duduk melayan Opah. Andika dan Indera mengambil angin di halaman rumah. Suasana terasa janggal sehingga mereka merasakan agak kekok untuk menjahit kembali hubungan yang tertetas.

.
Indera tak pernah lupa, Abah. Tak pernah Bah… Indera memulakan bicara.
Abah tahu… dan Alhamdulillah, bersyukurlah kita Indera. Allah masih sudi meminjamkan kita usia untuk dipertemukan semula.

.

.
Terlalu banyak perkara yang ingin dilafazkan. Payahnya kerana tidak ada perkataan yang sesuai untuk mengungkap perasaan. Sepi mengambil ruang. Mereka sama-sama merenung ke langit. Bulan masih terang di dada malam. Bintang-bintang masih setia berkelipan. Cuma sungai Nilam, masih mengalir lesu lagikah airnya?
.


ooooOOOooooo

.

TAHNIAH... anda telah berjaya membacanya sehingga.... TAMAT :D